Saturday, October 9, 2010

Bermulanya tragedi

Pada pagi 7 September 2010 anakku Akmal bangun awal waktu itu.Dia tidak menangis di kala itu tetapi anak matanya asyik merenung dan memandang aku.Aku menegur tingkah lakunya kerana selama ini Akmal tidak begitu.Renungannya amat tajam.Aku tidak upaya melayannya dengan lama memandangkan aku perlu bersiap untuk pergi mengajar di Sek.Men.Keb.Jalan Reko.Ku tinggalkan Akmal pada ayahnya.

Setelah selesai bersiap segera aku mendukung Akmal untuk dihantar ke nursery.Akmal masih ralit merenungku.Sesekali dia tersenyum sehingga menampakkan lesung pipitnya yang sangat dalam.Aku jadi leka merenung keindahan anugerah ilahi ini.aku menegur Akmal kerana terus menerus merenung dan memandang ku.Aku ciumnya berulang kali malah bergurau dengan dia yang Akmal boleh lagi melihat aku petang nanti bila aku mengambilnya pulang dari sekolah.Mungkin Akmal mahu berkata-kata, mungkin Akmal mahu memberitahu aku dia tidak mahu ke sana hari itu, mungkin Akmal sudah merasai dia akan melalui detik sukar jika aku terus menghantarnya. Aku tidak tahu.Sungguh aku tidak tahu dan tidak upaya menolak takdir qada dan qadar Allah. Ya Allah! aku tidak mengetahui bahawa itu semua adalah saat terakhir aku melihat Akmal si jantung hatiku. Ku tinggalkan Akmal dalam keresahan namun masih tetap berfikiran positif bahawa segalanya akan selamat.

Sepanjang hari itu jiwa aku resah .Ku tahan rasa hati.Di pagi itu juga aku didatangi seorang agen insuran. Aku segera membuat insuran buat Akmal sebagaimana anak anak lain sebagai persediaan masa depan mereka. Aku terus diburu kebimbangan sehingga ditegur oleh anak muridku.Ku terus tahan rasa hati ini dan dalam diam terus berdoa agar tidak ada sesuatu yang buruk terjadi buat suami dan anak-anakku.Setelah selesai membuat kelas tambahan aku segera pulang ke rumah. Rutin harianku pun bermula aku memasak dan mengemas rumah sebelum mengambil Akmal.Biasanya aku akan mengambil Akmal sekitar jam 3-4 petang memandang kelas tambahan aku buat setiap hari selepas lama bercuti kerana bersalin.Aku tidak mahu pelajar-pelajar aku terabai selama aku bercuti memandangkan mereka akan menghadapi peperiksaan di hujung tahun.

Malangnya tidak sampai beberapa minit aku tiba di rumah, tiba-tiba aku dikejutkan dengan deringan yang memaksa aku pergi ke nursery tanpa memberitahu hal yang sebenar. Tiga kali mereka mendesak aku agar segera ke sana.Aku mula berasakan terjadi sesuatu yang tidak elok setelah didesak begitu.Dengan nada suara yang tinggi aku memaksa mereka menceritakan hal yang sebenar.Aku diberitahu anak aku jatuh buai.Gelap dunia ku rasakan saat itu.Aku menggeletar seluruh badan. Segera aku menghubungi suami memberitahu hal yang sebenar. Kugagahkan seluruh kudrat demi anak tercinta. Aku cuba berfikiran positif mungkin kecederaan ini tidak serius. Namun semuanya hampa sebaik menjejakkan kaki ke sana. Akmal longlai dalam pelukan pengasuh itu. Tiada lagi senyuman manis, tiada lagi hilaian tawa, tiada lagi renungan eor matanya yang bersinar....sebaliknya badan anakku pucat, mata hitamnya tidak lagi kelihatan, tangannya terkulai, lembik dan sesekali dia kelihatan mahu terpejam.Lebih malang mereka tidak memberikan anak itu pada aku.Ke hulu dan ke hilir mereka membawa Akmal. Aku menjerit pulangkan anak itu pada aku...ibunya.Saat aku menyentuh tubuh Akmal anak itu sudah tidak bermaya... anak itu dalam kesakitan yang amat sangat....anak itu kaku dan tubuhnya sudah lembik dengan mata putih saja kelihatan. Sungguh aku kesal kerana bayang si pemilik taska sedikit pun tidak ada di situ. Mana rasa kemanusiaan, mana rasa keprihatinan dan mana rasa kasih manusia ini.Layakkah orang seumpama ini membuka taska jika dia tidak punya rasa dan tanggungjawab itu.

Akmal bertarung nyawa di icu
Akmal dalam keadaan yang koma

Akmal simanjaku dalam kesakitan


1 comment:

  1. salam kenal..

    ya allah sedeynya..

    sy juga senasib dgn anda cuma cara nya sajer berbeza..

    banyak betabah ye

    ReplyDelete