Sunday, October 17, 2010

Lagu Pelangi Petang- Sudirman

Lagu ni tinggalkan banyak kenangan bersama arwah Akmal. Masa ni para ibu yang menunggu anak sakit di ICU tengah menonton tv, kebetulan ada satu cerita yang sedih tengah ditayangkan dan terkeluarlah lagu  'Pelangi Petang' .Bait lirik lagu ini membuat kami semua sebak yang amat sangat hinggakan ada yang meleleh air mata dan mengatakan tidak akan lupa dengan kenangan ini.

Buat Siti, Ibu Faiz, Zarina dan yang lain hingga kini Roza tetap sedekahkan al fatihah pada anak kalian.Roza tak akan lupa sama sekali suka duka kita lalui bersama dulu

pelangi petang by sudirman

Sunday, October 10, 2010

Saat-saat genting

Sebaik tiba ke HKL, Akmal terus disorong ke bilik kecemasan untuk rawatan. Aku dan suami diminta  menunggu di sebuah bilik. Tatkala itu fikiran aku cukup berat. Berat memikirkan keselamatan Akmal, memikirkan masa depan Akmal, memikirkan anak-anak lain yang ditinggalkan.Aku dan suami masing-masing lebih banyak mendiamkan diri dan berdoa.

Agak lama menunggu aku dikhabarkan doktor dengan bebarapa kejutan.Menurut hasil city scan Akmal mempunyai kecederaan yang sangat serius.Terdapat pendarahan baru dan retak di kepalanya yang dipercayai kerana kejadian itu. Untuk itu satu pembedahan segera perlu dibuat pada malam itu juga demi untuk menyelamatkan nyawanya.Terdapat juga pendarahan kecil yang banyak di dalam matanya dan apa yang dikesalkan untuk aku kenangkan ialah terdapat pendarahan lama yang mana doktor percaya ia adalah hasil enjutan yang kuat pada anak itu. Kemungkinan anak ku dienjut kuat ketika dibuai.Menurut doktor lagi hentakan yang berlaku di kepala anak aku diumpamakan seperti pertembungan dua buah kereta yang sangat laju di highway.Aku dan suami tergamam. Kelu lidah kami. Air mata aku usah disekat...mengalir laju tanpa henti. Aku berishtifar tanpa henti mohon terus diberi keajaiban pada Akmal.Sukar sungguh melalui detik detik hitam itu.Sehingga cerita ini ditulis aku masih mengingati setiap detik sukar ini....malah air mata ini masih terus mengalir biarpun Akmal sudah tiada disisi.Terasa seperti semalam aku melalui semua detik ini dengan Akmal.

Akmal selepas pembedahan pertama di icu
Keadaan Akmal sangat tenat dan tidak stabil
  

Saturday, October 9, 2010

Perjalanan ke hospital

Ketika masing-masing melayan fikiran masing-masing, doktor datang berjumpa kami  berdua. Menurut doktor Akmal perlu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. Kecederaannya sangat serius. Di Hospital Kajang mereka tiada peralatan canggih dan kepakaran doktor. Aku akur dengan nasihat doktor.Maka kami pun bersiap dan menaiki ambulan.Itulah pengalaman pertama aku menaiki ambulan.Waktu itu aku rasa sedikit terkilan kerana pengasuh dan pemilik taska itu tidak mengikuti kami walaupun ke hospital Kajang....ini kerana bila aku disoal bertalu talu oleh doktor tinggi manakah Akmal jatuh, pukul berapa Akmal jatuh, apa yang jadi pada Akmal sebaik jatuh...aku tidak dapat memberikan jawapannya.Aku percaya mana-mana ibu yang senasib dengan aku pastinya panik dan tidak tertanya soalan-soalan ini sebaik melihat anak mereka di kala itu.Apa yang menerpa dalam benak fikiran hanya mahu menyelamatkannya.Di situ aku sudah nampak betapa mereka mereka ini memandang ringan kecederaan Akmal.Adakah duit dan keuntungan sahaja yang mereka mahu kaut...? tidak takutkah mereka dengan tanggungjawab dan amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah kelak di padang masyahr ? tidak takutkah mereka dengan balasan dan azab yang akan mereka terima di alam akhirat nanti ? 

Hari-hari sukar seterusnya

Dalam keadaan yang panik dan ketakutan aku jadi tergamam. Aku menangis dan menangis melihatkan keadaan anakku.Buntu fikiran saat itu sehinggakan aku tidak upaya menanyakan bagaimana perkara ini boleh terjadi.Apa yang aku cuba lakukan hanya berusaha menepuk Akmal agar terus sedar dan tidak pengsan kerna aku takut kiranya Akmal terpejam dia akan terus terpejam selamanya.Oh tuhan ! saat itu berulang kali aku berdoa agar perkara ini tidak terjadi pada Akmal.Dalam kepayahan dan kebuntuan itu si pemilik taska menalifon dan menyuruh aku membawa Akmal ke klinik terdekat.Segera aku mendukung dan membawa Akmal ke kereta. Mereka mereka yang menjaga Akmal melihat sahaja. Aku terfikir bagaimana aku dapat membawanya sedangkan aku mahu membawa kereta.Siapakah yang akan terus menepuk dan menyedarkan Akmal sepanjang perjalanan itu kerana saat itu Akmal kerap kali mahu terpejam.Dengan nada keras aku memaksa seorang pengasuh yang menjatuhkan Akmal meribanya.Dengan pantas aku segera ke klinik.Aku terketar dan menggigil ketika itu.Sesekali aku menyentuh Akmal dan lirikan mata aku jua sesekali tertumpah pada Akmal.Aku nekad untuk berusaha menyelamatkannya.
Tali ini telah diserahkan kepada pihak polis namun kes ini tiada penghujungnya

Inilah tali yang digunakan untuk menyambung buaian Akmal



Saat tiba ke klinik swasta berdekatan, aku terus mendukung Akmal dan berlari ke bilik doktor.Ketika itu doktor sedang merawat pesakit dengan menjahit luka pesakit itu.Aku tahan doktor itu merayu agar dia memberhentikan kerja itu dan menyelamatkan anak aku terlebih dahulu.Bermulalah prosedur doktor.Aku lihat doktor cuba memberikan bantuan oksigen namun hampa.Aku diminta untuk segera membawa Akmal ke hospital Kajang.Alhamdulillah dalam kekalutan itu suamiku tiba.Tanpa berlengah kami memecut kereta ke sana.Saat tiba ke sana,Akmal masih sedar namun mata hitamnya sudah tertarik ke dalam...mungkin sudah kekurangan oksigen dan mulai kena sawan.Namun hingga kini aku masih mengingati saat itu bilaku panggil nama anakku ' Akmal Harith ' dia menjawab dengan erangan yang panjang. Setiap kali aku memanggilnya dia tetap menjawab dengan erangan kesakitan itu.Mana mungkin aku melupakan saat ini...saat bermulanya penderitaan si kecil aku ini.Akmal masih mengenali suara ibunya saat itu.Aku tahu dan dapat merasainya kerana Akmal tetap menjawab dengan erangan itu hanya bila aku memanggilnya.Apa yang boleh ibu buat nak????Kalau boleh biar ibu di tempat itu merasai kesakitan Akmal.Kalau boleh biar ibu berganti tempat dengan Akmal,kalau boleh ibu tidak mahu langsung anak ibu melalui detik sukar ini kerana ibu tahu Akmal dalam kesakitan yang amat.Oh tuhan! kau berilah kekuatan pada aku untuk melalui ujian ini.Oh tuhan! kau selamatkanlah anakku ini.Aku tidak puas lagi menjaga dan membelai anak ini....baru tiga bulan aku diberi keseronokkan ini malah rasa sakit bersalin pun tidak hilang lagi....Berilah lagi peluang ini untuk aku terus berkhidmat pada anak dan permata hati ini.Itulah doa dan rintihan aku di dalam hati.Suami genggam erat tangan aku...suami cium pipi dan tanganku memberi kekuatan padaku.Suami bisikkan padaku ' Anak kita kuat Ina!,insyaallah dia boleh melawan kesakitan ini dan abang akan tetap bersama Ina di kala susah dan
senang...Abang tidak akan biarkan Ina melalui kepayahan ini seorang diri ! '

Suami dan anak-anak banyak memberi dorongan dan semangat hadapi dugaan ini 

Bermulanya tragedi

Pada pagi 7 September 2010 anakku Akmal bangun awal waktu itu.Dia tidak menangis di kala itu tetapi anak matanya asyik merenung dan memandang aku.Aku menegur tingkah lakunya kerana selama ini Akmal tidak begitu.Renungannya amat tajam.Aku tidak upaya melayannya dengan lama memandangkan aku perlu bersiap untuk pergi mengajar di Sek.Men.Keb.Jalan Reko.Ku tinggalkan Akmal pada ayahnya.

Setelah selesai bersiap segera aku mendukung Akmal untuk dihantar ke nursery.Akmal masih ralit merenungku.Sesekali dia tersenyum sehingga menampakkan lesung pipitnya yang sangat dalam.Aku jadi leka merenung keindahan anugerah ilahi ini.aku menegur Akmal kerana terus menerus merenung dan memandang ku.Aku ciumnya berulang kali malah bergurau dengan dia yang Akmal boleh lagi melihat aku petang nanti bila aku mengambilnya pulang dari sekolah.Mungkin Akmal mahu berkata-kata, mungkin Akmal mahu memberitahu aku dia tidak mahu ke sana hari itu, mungkin Akmal sudah merasai dia akan melalui detik sukar jika aku terus menghantarnya. Aku tidak tahu.Sungguh aku tidak tahu dan tidak upaya menolak takdir qada dan qadar Allah. Ya Allah! aku tidak mengetahui bahawa itu semua adalah saat terakhir aku melihat Akmal si jantung hatiku. Ku tinggalkan Akmal dalam keresahan namun masih tetap berfikiran positif bahawa segalanya akan selamat.

Sepanjang hari itu jiwa aku resah .Ku tahan rasa hati.Di pagi itu juga aku didatangi seorang agen insuran. Aku segera membuat insuran buat Akmal sebagaimana anak anak lain sebagai persediaan masa depan mereka. Aku terus diburu kebimbangan sehingga ditegur oleh anak muridku.Ku terus tahan rasa hati ini dan dalam diam terus berdoa agar tidak ada sesuatu yang buruk terjadi buat suami dan anak-anakku.Setelah selesai membuat kelas tambahan aku segera pulang ke rumah. Rutin harianku pun bermula aku memasak dan mengemas rumah sebelum mengambil Akmal.Biasanya aku akan mengambil Akmal sekitar jam 3-4 petang memandang kelas tambahan aku buat setiap hari selepas lama bercuti kerana bersalin.Aku tidak mahu pelajar-pelajar aku terabai selama aku bercuti memandangkan mereka akan menghadapi peperiksaan di hujung tahun.

Malangnya tidak sampai beberapa minit aku tiba di rumah, tiba-tiba aku dikejutkan dengan deringan yang memaksa aku pergi ke nursery tanpa memberitahu hal yang sebenar. Tiga kali mereka mendesak aku agar segera ke sana.Aku mula berasakan terjadi sesuatu yang tidak elok setelah didesak begitu.Dengan nada suara yang tinggi aku memaksa mereka menceritakan hal yang sebenar.Aku diberitahu anak aku jatuh buai.Gelap dunia ku rasakan saat itu.Aku menggeletar seluruh badan. Segera aku menghubungi suami memberitahu hal yang sebenar. Kugagahkan seluruh kudrat demi anak tercinta. Aku cuba berfikiran positif mungkin kecederaan ini tidak serius. Namun semuanya hampa sebaik menjejakkan kaki ke sana. Akmal longlai dalam pelukan pengasuh itu. Tiada lagi senyuman manis, tiada lagi hilaian tawa, tiada lagi renungan eor matanya yang bersinar....sebaliknya badan anakku pucat, mata hitamnya tidak lagi kelihatan, tangannya terkulai, lembik dan sesekali dia kelihatan mahu terpejam.Lebih malang mereka tidak memberikan anak itu pada aku.Ke hulu dan ke hilir mereka membawa Akmal. Aku menjerit pulangkan anak itu pada aku...ibunya.Saat aku menyentuh tubuh Akmal anak itu sudah tidak bermaya... anak itu dalam kesakitan yang amat sangat....anak itu kaku dan tubuhnya sudah lembik dengan mata putih saja kelihatan. Sungguh aku kesal kerana bayang si pemilik taska sedikit pun tidak ada di situ. Mana rasa kemanusiaan, mana rasa keprihatinan dan mana rasa kasih manusia ini.Layakkah orang seumpama ini membuka taska jika dia tidak punya rasa dan tanggungjawab itu.

Akmal bertarung nyawa di icu
Akmal dalam keadaan yang koma

Akmal simanjaku dalam kesakitan


Friday, October 8, 2010

Sebelum tragedi berlaku


Akmal dibawah ribaan neneknya 

Permata hatiku ini merupakan anak keempat. Akmal dilahirkan pada 30 Mei 2005. Ku namakan dia Akmal Harith. Sengaja ku pilih '  harith ' kerana ianya bermaksud 'yang kuat'. Ya Allah ! saat doktor meletakkan akmal ke dada aku sebaik sahaja melahirkan Akmal aku merasakan sangat bahagia...terlalu bahagia. Entah kenapa anak ini sangat berbeza berbanding dengan anak lain. Hati aku jua tertanya tanya kenapa aku merasakan begitu kerana aku tidak pernah sesekali membezakan-bezakan anak. Malah aku menceritakan pada rakan rakan kenapa perasaan aku agak berlainan dengan anak ini. Rasa kasih padanya membuak-buak...rasa rindu padanya tak terhingga....rasa sayang padanya tidak pernah padam. Ternyata anak ini amat istimewa...sejak lahir lagi dia sangat istimewa.

Akmal ketika berumur 3 bulan
dan sebelum kejadian berlaku


Akmal ketika ini dalam keadaan yang cukup sihat